Sunday, 24 June 2040

About Me


Bismillahirrohmaa nirrohim....
Assalamualaikum... Selamat sejahtera...

Berjalan ke hulu Sungai Bemban,
Hendak mencari sibunga raya,
Janganlah malu janganlah segan,
Jemputlah membaca blog saya.

Saya bernama Habibah binti Md Mazuki. Nama saya yang manis  ini telah diberikan oleh ibu dan ayah yang sekarang ini menetap di sebuah felda di Negeri Kedah. Saya adalah anak kedua dari empat orang adik beradik. Kata orang anak kedua selalunya mempunyai tingkah laku yang sangat berbeza dengan adik beradik  yang lain. Kalau inginkan sesuatu akan diusaha bersungguh-sungguh dan kalau tidak hendakkan sesuatu akan ditolak sesungguh hati. Betul ke?
    Saya adalah bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang pendidikan sains.  Selama empat tahun menimba ilmu akhirnya diberi peluang bekerja  sebagai pensyarah matrikulasi di negeri Perak dan sangat menyayangi pekerjaan saya.  Bagi saya pengalaman yang saya dapat ini banyak mengajar saya tentang bagaimana cara berinteraksi dengan orang lain terutama yang jauh lebih muda dari saya.  Pengalaman ini juga boleh saya aplikasikan dalam mendidik anak saya.  
    Falsafah hidup yang saya pegang adalah ' berilah manfaat kepada orang lain selagi hidup'. Maksudnya selagi masih hidup lakukanlah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain terutama orang yang sangat memerlukan tidak kiralah dari segi kewangan, tenaga, ilmu pengetahuan dan sebagainya selagi terdaya.  Segala dugaan yang Allah berikan dalam hidup adalah sebagai pengalaman berharga yang suatu hari nanti akan kita gunakan untuk membantu orang lain. Kesenangan yang Allah berikan bukanlah untuk dinikmati seorang diri tetapi dikongsi bersama yang tidak berkemampuan. Maka saya harus memanfaatkan apa yang dianugerahkan kepada saya sebaik mungkin.